Menyatukan dua genre kegemaran khalayak tempatan -aksi dan komedi, Adnan Sempit karya terbaru pengarah prolifik, Ahmad Idham bakal memulakan percaturannya di pawagam di seluruh negara pada 14 Januari ini. Adnan Sempit tidak dapat lari daripada sentuhan tipikal filem komedi seperti arahan Ahmad Idham sebelumnya termasuk yang terbaru, Senario The Movie - The Beach Boys.
Cuma mungkin Adnan Sempit diwarnai dengan elemen dialek, muzikal dan aksi remaja diadun bersama komedi yang dipersembahkan secara ringan menyuntik sedikit variasi pada garapan Idham ini. Kelebihan Idham dalam memahami selera khalayak massa memudahkan dirinya mencorakkan Adnan Sempit memenuhi keperluan usia dan minda kumpulan penonton sasarannya.
Justeru sekiranya khalayak ingin mencari sesuatu yang luar biasa dalam Adnan Sempit, itu tidak akan ditemui kerana filem ini digarap ringan dan tidak mengelirukan penonton. Adnan Sempit tidak menceritakan kehidupan mat rempit, sebaliknya membawakan kisah cinta seorang penghantar surat, Adnan atau Nan lakonan Shahiezy Sam yang jatuh cinta kepada ketuanya, Nadia (Intan Ladyana).
Latar filem ini diangkat daripada isu rempit yang diolah bersama penggunaan bahasa pertuturan harian memberi sedikit kelebihan kepada Adnan Sempit untuk dekat di hati khalayak. Seperti kata Idham sendiri, memahami sensitiviti masyarakat, dia menjuruskan cerita dalam Adnan Sempit kepada filem aksi komedi yang tidak terlalu berat namun masih mempunyai kelompok peminat sasaran.
Adnan Sempit juga memperlihatkan keberanian Idham mengenepikan aspek populariti pelakon untuk menjadi teras yang menghidupkan filem ke-33 terbitan MIG Production itu.
Nama seperti Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Norliana Samsudin dan Along (Raja Lawak) barangkali tidak berdiri dalam senarai popular.
Bagaimanapun, setiap mereka mempunyai karisma dan pesona tersendiri sekali gus membantu melengkapkan pakej dikehendaki untuk filem ini. Seperti kata Idham, Adnan Sempit mungkin tidak memenuhi kriteria filem terbaik seperti yang dimahukan media massa atau pengkritik filem tetapi apabila dipertontonkan kepada orang awam, ia menerima rangsangan yang cukup mengesankan.
Pengarah itu tidak salah dalam percaturannya kerana sentiasa memberikan pilihan tontonan kepada pencinta filem Melayu. Dalam memberikan pilihan itu, pastinya dia tidak bebas daripada menerima ulasan jelek, memualkan atau membosankan daripada pihak media.
Itu persoalan biasa kerana sebagai sutradara yang mempunyai kredibiliti dan kreativiti tersendiri, Idham bijak mengimbangi supaya nama besarnya terus dihormati dan dipandang tinggi kelompok penggiat perfileman yang serius.
Cuma Adnan Sempit terlalu kecil buat pelakon hebat seperti Shaheizy. Bakat serta karisma lakonannya lebih besar dan berkualiti berbanding watak Adnan yang diserahkan kepadanya dalam produksi itu. Setiap satu watak membantu antara satu sama lain dan secara keseluruhan, Adnan Sempit tidak meletakkan seluruh ‘beban’ kepada teraju utamanya semata-mata.
Biarpun masih baru, lakonan Along dan Angah yang dicungkil menerusi pertandingan Raja Lawak Astro tidak mengecewakan.
Persembahan mereka selamba, bahkan pada sesetengah kemunculan membantu memberi graf kepada perjalanan Adnan Sempit.
Tetapi tidak kepada lakonan Intan Ladyana. Entah kenapa penghayatan karektor sebagai Nadia masih belum meresapi diri Intan sepenuhnya. Disebabkan kelemahan itu, tenaga yang seharusnya ada dalam diri Nadia tidak terzahir sebaliknya yang disajikan kepada penonton cuma sebuah kekurangan.
Sinopsis
MENGISAHKAN Adnan, seorang mat rempit berusia lingkungan 27 tahun dan lebih dikenali sebagai Nan Sempit di kalangan rakan-rakannya. Dia berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tidak mendapat kasih sayang dan layanan yang baik dari keluarga makciknya. Di ibu kota, Adnan tinggal bersama Macha, abang saudaranya dan menjadi tempat dia meluahkan rasa hati. Dia mula hidup di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai penghantar surat di sebuah syarikat swasta dan menyimpan perasaan kepada bosnya, Nadia.
Nadia dilahirkan dalam keluarga mewah dan stabil dalam kerjayanya serta sering ditemani pembantu peribadi, Wawa. Wawa ialah teman wanita kepada Bobby yang juga sahabat Adnan. Nadia pernah kecewa akibat putus cinta, menyebabkan dia susah dan takut untuk bercinta lagi.
Nadia yang tercabar dengan rakan-rakannya terus memperkenalkan Adnan sebagai teman lelakinya. Sejak peristiwa itu, pelbagai cerita berlaku antara mereka hingga satu hari Nadia cedera diserang sekumpulan remaja dan diselamatkan Adnan. Nadia mula menyimpan perasaan terhadap Adnan.
Bagaimanapun, Jofri rakan Nadia ketika menuntut menyimpan hasrat untuk memiliki Nadia dan bersubahat dengan Zack bagi membantu rancangannya memisahkan Adnan dan Nadia selain ingin mendapat tender Datuk Harun. Zack mengambil kesempatan terhadap Nadia dan Adnan menyerang sehingga menyebabkan pergaduhan besar.
Pengarah: Ahmad Idham
Pelakon: Shaheizy Sam; Intan Ladyana; Norliana Samsudin; Along (Raja Lawak); Cat Farish; Julia Hana; Angah (Raja Lawak) Dan Zack X Factor
Genre: Komedi Aksi
Nadia cuba menyelami dunia mat rempit.
Mula Tayangan: 14 Januari 2010
Source: Berita Minggu
0 comments:
Post a Comment
# Please correct lyrics @ comment box if the lyrics are wrong. Thx!