Sinopsis Drama Bersiri Mama Murai

Mami Murai mengisahkan Saodah yang bermulut becok sehingga digelar Mama Murai. Dia sering merungut, bersikap angkuh dan sentiasa beranggapan dirinya saja yang sempurna. Apabila anaknya meningkat dewasa, Saodah berpindah ke Kuala Lumpur lalu menimbulkan pelbagai konflik baru.

Dia berjiran dengan Din Misai, bujang terlajak yang hidup sendirian apabila cintanya tidak direstui oleh keluarga bekas kekasihnya yang mementingkan darjat. Din Misai menyukai Saodah namun kurang berkenan dengan sikapnya yang suka memburukkan orang lain.

Konflik bermula apabila Saodah bertemu semula dengan madunya, Baiduri yang mempunyai acuan sikap sepertinya. Di situ menjadi titik permulaan pertelingkahan Saodah dan Baiduri apabila mereka saling berlawan antara satu sama lain.

Mama Murai membariskan pelakon seperti Kartina Aziz, Sheila Mambo, Intan Ladyana, Putri Mardiana, Mas Muharni, Anne Abdullah, Azad Jasmin dan Bob Lokman. Mama Murai juga kata David, memecah tradisi MIG Productions yang tidak pernah melakukan penggambaran ketika Ramadan namun terpaksa dibuat kerana tarikh siarannya semakin hampir.

Drama bersiri Mama Murai yang menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bermula 28 Ogos lalu, David Teoh sekali lagi mengupas pelbagai persoalan yang membelenggu masyarakat dewasa ini. Mengambil latar keluarga mami yang membina hidup di Kuala Lumpur selepas berpindah dari Pulau Pinang, Mama Murai yang bakal disiarkan Astro Warna pada 3 Disember ini membawa keistimewaannya tersendiri.

David berkata, dia tertarik untuk mengangkat latar kehidupan anak mami kerana elemen komedinya yang kuat, disokong penggunaan bahasa yang indah dan lunak didengar.

“Berdasarkan rekod penerbitan filem seperti Mami Jarum, Mami Jarum Junior dan Anak Mami Kembali yang sentiasa mendapat sambutan hebat ketika tayangan, kami yakin genre komedi masyarakat seperti ini mempunyai kelompok peminatnya sendiri. Penggunaan bahasanya yang mudah difahami selain paparan elemen komedi yang menghiburkan membuatkan kami kembali menampilkan kisah hidup anak mami menerusi Mama Murai,” katanya.

Menolak kenyataan penerbitan Mama Murai sekadar meneruskan stereotaip kehidupan anak mami seperti yang sering dipertontonkan kepada umum, David berkata, drama arahan Hashim Rejab ini cuba lari daripada kebiasaan itu. Biarpun terpaksa bersaing dengan produksi lain yang turut memaparkan latar serupa, David berkata, setiap penerbit dan pengarah mempunyai idea serta cara mereka sendiri.

“Suatu yang masyarakat harus tahu biarpun mengetengahkan genre komedi, Mama Murai tidak sesekali memperbodohkan penonton.

Komedi yang dibawakan juga segar, bertenaga serta lebih dekat dengan kehidupan masyarakat ketika ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

# Please correct lyrics @ comment box if the lyrics are wrong. Thx!