Biarpun dinasihatkan doktor untuk berehat panjang daripada menyanyi namun demi menyahut cabaran dalam program Mentor 4, Shaq tetap berusaha memberikan persembahan terbaik.
Ketika Shaq membuatkan penampilan solo menerusi lagu Teratai yang dipopularkan oleh Sweet Charity kelihatan di sudut penjuru pentas Mas Idayu mengalir air mata melihat kegigihan protegenya itu.
Sebagai mentor yang berpengalaman ketika membimbing Black muncul juara Mentor musim lalu, Mas Idayu yang lebih selesa dengan gelaran Mummy daripada protege pernah melalui masalah sama begitupun berbeza situasi kerana Black berdepan masalah suara ketika penghujung program.
Mas Idayu berkata, pemilihan Shaq sebagai protege untuk menyahut cabaran menyertai pertandingan Mentor musim ini kerana dia percaya kepada kelebihan nada suaranya yang berbeza.
"Kami mempunyai tempoh yang singkat iaitu hanya tiga bulan untuk membuktikan kemampuan dalam bidang nyanyian. Namun sudah timbul masalah pada peringkat awal dan tentunya ia satu cabaran yang hebat.
"Untuk pulih, doktor nasihat supaya Shaq berehat panjang atau menjalani pembedahan. Kami tidak banyak pilihan. Pada masa yang sama saya kena menjaga pemakanan dan latihan yang bersesuaian.
Apa pun dilemanya, persembahan pertama kumpulan A di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu tetap memperlihatkan Shaq yang berasal dari Kelantan, mendahului peserta lain dengan 42 markah, diikuti Joe Flizzow & Ila (33 markah) dan Azmeer & Nani (25 markah).
Sementara itu, Nani atau nama sebenarnya, Nurhadzwani Salleh, 24, memberitahu persaingan malam itu agak sengit. Biarpun memungut markah terendah, dia melihat persaingan masih terbuka dan memikirkan beberapa strategi untuk mara pada minggu seterusnya.
Azmeer berpuas hati dengan persembahan anak didiknya itu begitupun masih ada beberapa kelemahan yang perlu dibaiki.
Azmeer turut menyanyi lagu duet bersama Nani menerusi lagu Kamelia dan mempertaruhkan persembahan solo dengan lagu medley Gemilang/Srikandi Cintaku/Madah Berhelah/Kekasih Awal dan Akhir/Gerimis Mengundang.
Manakala Ila Damiaa Johar atau Ila, pula berkata biarpun memungut markah di tangga kedua, dia tetap bersyukur kerana dapat melakukan persembahan terbaik untuk malam itu. Malah dia Joe Flizzow ada perancangan tersendiri untuk persembahan minggu berikutnya.
Joe Flizzow dan Ila menyanyikan lagu duet Killing Me Softly manakala Fantasia Bulan Madu untuk persembahan solo.
Walaupun Joe Flizzow dikenali dengan muzik hip hop, dia tidak merancang anak didiknya itu untuk turut mengikut jejak langkahnya.
"Saya tidak merancang Ila menyanyi lagu rap atau hip hop. Begitupun saya mungkin menggalakkannya mara bersama jalur muzik rock dan balada (R&B).
"Kedua-dua genre mempunyai kaitan. Kebanyakan produksi mempunyai kaitan dengan muzik rap dan R&B, Seperti di Amerika, produksi yang mencipta lagu rap turut merakamkan lagu R&B seperti Jay-Z dan Beyonce. Hip hop juga satu daripada rumpun muzik," katanya.
Protege terbabit turut tampil bersama persembahan khas tribute untuk Zainal Abidin pada penghujung program yang menampilkan pengacara, Ally Iskandar sementara Nas Ahmad sebagai pengacara di belakang tabir.
Persembahan peserta dinilai juri profesional iaitu Helen Yap dan Zainal Abidin. Format pemarkahan melalui tiga bahagian iaitu 50 peratus juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus penilaian juri awam yang terdiri daripada program hiburan, pelajar muzik, pihak media dan golongan semi profesional dalam industri muzik.
Setiap protege membuat tiga persembahan mengikut kumpulan masing-masing melalui konsert yang diadakan secara selang seli antara kumpulan A dan B. Minggu depan persaingan kumpulan B membabitkan mentor, Mus May & Ayim, Dayang Nurfaizah & Adi serta Ziana Zain & Thalia.
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
0 comments:
Post a Comment
# Please correct lyrics @ comment box if the lyrics are wrong. Thx!