Dengan markah terkumpul sebanyak 42%, Mas Idayu dan Shaq berjaya mengatasi Joe Flizzow dan protegenya, Ila yang hanya mampu mengumpul 33% serta Azmeer dan Nani yang kini berada di tempat ketiga dengan 25% markah.
Mas Idayu, ketika ditemui sejurus selepas program tersebut berakhir, mengakui terkejut dengan keputusan yang diumumkan. Apatah lagi semasa di peringkat awal, dia dan Shaq hanya berjaya mengumpul 13 markah daripada juri awam di studio.
"Sebelum keputusan diumumkan, saya telah beritahu Shaq supaya banyak-banyak bersabar dan jangan kecewa kalau kita mendapat markah yang paling sedikit.
"Namun inilah yang dinamakan rezeki apabila markah kami bertambah dan berjaya mengatasi mentor dan protege lain. Ianya memang di luar jangkaan apatah lagi Shaq sendiri kini bergelut dengan masalah sakit tekak.
"Tetapi keputusan ini tidak boleh membuatkan saya rasa puas hati atau mendabik dada. Ini kerana perjalanan kami berdua masih panjang dan saya berharap agar peminat terus memberikan sokongan kepada kami," ujar Mas Idayu yang lebih selesa membiasakan dirinya sebagai 'mummy'.
Sementara itu, Shaq memberitahu dia sendiri terkejut dengan keputusan tersebut dan berterima kasih kepada Mas Idayu yang tidak henti-henti memberikan sokongan serta penonton yang mengundinya.
"Semasa konsert pengenalan, saya tidak berjaya menonjolkan bakat atau vokal saya kerana masalah sakit tekak yang saya alami. Tetapi pada malam ini saya berusaha untuk memberikan persembahan terbaik walaupun masih berasa sakit.
"Mujurlah segala-galanya berjalan lancar dan saya berpuas hati dengan persembahan yang telah saya lakukan. Namun saya percaya saya mampu berikan persembahan yang lebih baik selepas ini," ujar anak muda yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan ini tenang.
Manakala Azmeer dan Joe Flizzow ketika di minta mengulas tentang keputusan yang diumumkan, menerima keputusan itu dengan hati terbuka. Namun mereka berjanji untuk memberikan saingan sengit kepada Mas Idayu dalam persembahan yang akan datang.
Protege beraksi
Mengimbas kembali persembahan pada malam itu, tirai konsert dibuka dengan jayanya oleh protege Azmeer, Nani yang menyanyikan medley lagu "Gemilang", "Srikandi Cintaku", "Madah Berhelah", "Kekasih Awal dan Akhir" serta "Gerimis Mengundang".
Menyanyi dengan gaya tersendiri, juri Mentor 4 iaitu Zainal Abidin dan Helen Yap menganggap Nani mempunyai kualiti vokal yang baik dan mampu menjadi seoarang bintang jika bakatnya terus diasah.
Usai Nani, Shaq menghangatkan pentas dengan lagu duetnya bersama Mas Idayu, "Madu" dan "Cinta Sabun Mandi". Persembahan yang menerapkan elemen drama itu berjaya menarik perhatian penonton. Ditambah dengan gelekan Mas Idayu, Auditorium MBSA bergegar dengan sorakan peminat.
Protege Joe Flizzow tidak kurang hebatnya apabila tampil menyanyikan lagu "Fantasia Bulan Madu" yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh kumpulan Search.
Untuk segmen kedua, Nani berduet dengan Azmeer sambil mendendangkan lagu "Kamelia". Gabungan mereka berdua ternyata mempunyai keserasian malah dianggap oleh juri sebagai persembahan yang menarik pada malam tersebut.
Shaq tampil membuat persembahan solo dengan menyanyikan lagu "Teratai". Dengan vokal yang mantap, Shaq berjaya mengatasi rasa sakit tekak yang dialami walaupun kadang-kala suaranya sedikit tenggelam.
Ila dan Joe Flizzow menggemparkan pentas apabila berduet menyanyikan lagu "Killing Me Softly" sebelum ketiga-tiga protege bergabung dalam persembahan penutup dengan menyanyikan lagu-lagu hebat sepanjang zaman Zainal Abidin.
0 comments:
Post a Comment
# Please correct lyrics @ comment box if the lyrics are wrong. Thx!