* Arahan: Syamsul Yusof
* Genre: Aksi/Drama
* Klasifikasi: 18PL
* Mula Tayangan: 23 April 2009
* Pelakon: Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim, Nasir Bilal Khan dan Adam Corrie.
Kalau kita boleh menerima filem Fast & Furious: 4 yang sarat dengan aksi ganas, liar, kasar dan elemen lucah, mengapa pula kita menjadi terlalu kritikal dengan filem Bohsia sedangkan kedua-duanya mengangkat tema hampir sama - masalah sosial di kalangan remaja atau belia.
Apakah yang dipaparkan dalam Fast & Furious: 4 tidak akan mempengaruhi generasi muda kita kerana filem itu bercerita pasal aktiviti dadah, lumba haram, merompak dan pergaduhan di antara kumpulan samseng? Malahan filem itu wujud aktiviti bohsia.
Oleh itu, paparan negatif seperti aksi ranjang yang memualkan, gaya hidup bebas, mabuk, gaduh, penggunaan bahasa yang kasar adalah kehidupan realiti yang ingin dipaparkan pengarah muda Syamsul Yusof dalam filem Bohsia; Jangan Pilih Jalan Hitam.
Filem ini terlalu buruk sebab Bohsia ialah filem Melayu, menggunakan latar budaya dan bahasa Melayu. Tapi kalau dilihat daripada aspek negatif ia memang sangat hodoh.
Namun, dalam realiti kehidupan bohsia dan mat rempit adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Mereka memang tidak kenal istilah budi bahasa. Mereka ada bahasanya sendiri untuk berkomunikasi. Perangai atau tingkah laku serta gaya hidup mereka memang tersendiri. Kalau mereka menggunakan bahasa yang baik dengan tingkah laku bersopan santun, tentulah ia bukan cerita bohsia dan mat rempit.
Apabila menonton filem ini, kita harus berfikir bagaimana hendak mendekati mereka. Bagaimana hendak memahami dan mengatasi masalah bohsia dan mat rempit. Adakah wajar kita menyisihkan golongan ini? Patutkah mereka terus dikutuk? Kita dari kalangan ‘orang baik-baik’ sering tidak mempedulikannya menyebabkan golongan itu memilih jalan sendiri untuk mengatasi masalah masing-masing.
Selagi kita mengutuk dan menyumpah seranah, selagi itulah gejala sosial ini tidak akan selesai. Inilah yang hendak diketengahkan Syamsul.
Walaupun filem kedua arahannya dianggap keterlaluan, namun klasifikasi 18PL yang diberikan Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak menghalang filem itu ditonton kecuali kanak-kanak di bawah 18 tahun ke bawah.
Apa yang cuba disampaikan oleh Syamsul mengenai kehidupan sebenar remaja hari ini. Isunya adalah jika tidak dibendung awal ia boleh merebak seperti barah yang boleh memakan diri.
Turut diakui filem ini memaparkan punca yang biasanya terjadi kepada remaja bermula dari rumah di mana pendidikan agama yang kurang dan persekitaran sekeliling tidak sempurna menarik ramai golongan muda terbabit dengan aktiviti kurang sihat.
Syamsul bijak menarik penonton dengan memaparkan pelbagai aksi dan babak dengan yang cepat tanpa menurunkan mood penonton. Setiap babak mempunyai kesinambungan bagi babak seterusnya.
Beberapa pelakon seperti Nabila, Salina, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Nasir Bilal Khan dan Shamsul sendiri berjaya menambat hati penonton dengan lakonan bersahaja dan meninggalkan kesan kepada penonton.
Kisah Bohsia bermula oleh dua remaja Amy dan Tasya yang menjadi mangsa kerakusan kekejaman manusia berhati binatang. Tanpa pendidikan dan latar belakang keluarga sempurna, Amy dan Tasya terjebak dalam dunia rempit.
Oleh Rozdan Mazalan
firdaus hai jangan buat bejok sangat
ReplyDelete