Drama bersiri bertajuk Amanah Karmila akan mengisi slot Koleksi@2 pada setiap Jumaat hingga Ahad, jam 6 petang di TV2.
Menerusi drama ini, Elly tampil dengan watak lebih mencabar kerana Karmila terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan dalam mengecapi kebahagiaan hidup.
Drama bersiri 23 episod ini mengetengahkan Karmila yang dibesarkan oleh ibu saudaranya, Mak Sah. Konflik bermula apabila Karmila dipaksa berkahwin dengan Husen yang terkenal kerana mempunyai bilangan isteri ramai. Ia menyebabkan Karmila tekad melarikan diri mengikut teman lelakinya, Herman ke Kuala Lumpur dan mengambil keputusan mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihannya itu.
Tindakan Herman itu kurang disenangi ibunya, Datin Syamsiah yang beranggapan Karmila tidak layak menjadi menantunya lantas cuba merancang untuk menjodohkan Herman dengan Roza, anak Tan Sri Alif yang baru pulang dari luar negara.
Sebaliknya, kehadiran Karmila dapat diterima oleh bapa Herman, iaitu Datuk Adnan yang menyambut baik kedatangan Karmila dalam keluarga beliau.
Malah, Datuk Adnan bercadang untuk mengadakan satu majlis keramaian bagi menyambut kedatangan Karmila sebagai seorang ahli keluarganya tetapi Datin Syamsiah membantah cadangan itu.
Kemunculan Salima, anak saudara Datin Syamsiah menyebabkan kehidupan Karmila semakin sengsara. Karmila dipaksa melakukan pelbagai kerja oleh Datin Syamsiah.
Pelbagai cara dilakukan Datin Syamsiah untuk memujuk Karmila agar membenarkan Salima mengahwini Herman. Sebaliknya, kehidupan Datin Syamsiah menjadi tertekan apabila mengetahui suaminya, Datuk Adnan menjalin hubungan rahsia dengan Linda Lee.
Selain Elly Mazlein, drama bersiri Amanah Karmila ini turut membariskan pelakon seperti Zed Zaidi, Abdul Rahim Jelani, Aizah Mahzan, Aripah Damanhuri, Haryati Hamzah dan penampilan bakat baru, Tengku Puteri Najuwa.
0 comments:
Post a Comment
# Please correct lyrics @ comment box if the lyrics are wrong. Thx!