Itulah juga yang dirasai kru produksi Awan Dania musim ketiga. Selepas Seoul, Scha Al Yahya, Gambit Saifullah dan Zed Zaidi dibawa pula meneroka bumi Perth, Australia Barat.
Penggambaran Awan Dania musim ketiga berjalan lancar. Meskipun perubahan cuaca sedikit sebanyak mengganggu, semuanya dapat dilakukan dengan baik.
Di Perth, sutradara Danish Samby membawa pelakonnya ke beberapa lokasi menarik. Menghirup udara segar di Kings Park, meniti persisiran Sungai Swan yang kebiruan, berlatarkan jeti tertua Fremantle dan berjalan-jalan di lapangan terbang bandar raya itu antara pengalaman menakjubkan buat mereka.
Menurut Samby, walaupun ada sedikit perubahan pada jalan cerita Awan Dania, ia masih mengekalkan kesinambungan musim sebelumnya.
"Musim pertama, Dania bekerja di Air Asia dan musim kedua pula dia menjadi pramugari di syarikat penerbangan Firefly. Kini, memasuki musim ketiga, Dania bertambah matang dan akhirnya berpeluang mempunyai karier di sebuah syarikat penerbangan persendirian.
"Beberapa watak dikekalkan, tetapi kebanyakannya membawa watak baru dan pelakon baru. Dania (Scha) masih menjadi watak utama. Bagaimanapun, kali ini dia cuba didampingi dua watak baru iaitu Akmal (Gambit) dan Kapten Iman (Zed Zaidi)," katanya.
Menurut Samby, Awan Dania musim terbaru memberikan jalan cerita yang lebih padat dengan kisah percintaan tiga segi, kerjaya dan cita-cita. Katanya, dia menjanjikan sebuah drama yang lebih dramatik.
"Saya cuba memperbaharui drama ini supaya kelihatan segar. Sebab itu beberapa muka baru dimasukkan. Selain itu, jalan ceritanya lebih menarik supaya penonton dapat merasakan perbezaan musim ini dengan sebelumnya.
"Daripada segi produksi pula, saya cuba membawa teknik penggambaran filem fotografi. Sebelum ini penggambarannya dijalankan dengan teknik sinematografi. Jadi, dengan konsep baru ini, saya berpeluang menceritakan pelbagai perkara hanya dalam sebuah babak.
"Saya turut menampilkan gambaran menarik terhadap negara luar kepada penonton. Sekurang-kurangnya, selain berhibur dengan cerita ini, penonton sedikit sebanyak dapat merasai dan melihat negara luar," katanya sambil memberitahu, waktu siaran Awan Dania ditukar dari jam 10 ke 9 malam setiap Isnin di saluran Astro Prima.
Bagi Scha, pengalaman di negara orang sungguh menyeronokkan. Pelbagai pengalaman baru, bertemu peminat walaupun bukan di negara sendiri, membuatkannya rasa dihargai.
"Bayangkan saja, tengah sibuk-sibuk di lokasi, tiba-tiba kita ditegur orang tak dikenali. Rupa-rupanya mereka orang Malaysia yang menetap atau melancong ke sini. Ingatkan, tidak ada yang mengenali. Sedikit sebanyak, saya terharu juga.
"Apapun, berada di Perth memang menyeronokkan. Lokasi penggambaran yang menarik, pemandangan yang cantik dan budaya yang jauh berbeza daripada negara kita menjadi pengalaman berharga," katanya.
Mengulas watak Dania, Scha berkata, karakter itu tidak jauh beza dengan musim sebelumnya. Cuma kini, Dania lebih matang dan fokus terhadap kerjayanya.
"Dulu, Dania tidak tahu adakah kerjaya yang diceburinya itu tepat atau tidak. Begitupun, kini dia sedar pramugari adalah kerjaya yang sesuai dengan dirinya. Dania semakin dewasa dalam menjalankan tugasnya. Dia tidak lagi keliru dengan diri dan apa yang harus dilakukan. Namun, masalah cinta masih melanda dirinya," katanya.
Menurut Scha, pertambahan pelbagai watak baru tidak mengganggu fokusnya. Katanya, semua pelakon yang ditampilkan dalam cerita ini profesional dan tahu membawa watak masing-masing.
"Bagi saya, watak baru itu mempunyai kekuatan masing-masing terhadap jalan cerita ini. Malah, ia turut menjadikan drama ini lebih segar. Sekurang-kurangnya, penonton dapat melihat perubahan ceritanya.
"Di Perth, Dania banyak meluangkan masa dengan Kapten Iman kerana di sini, kebanyakannya adalah watak kami berdua. Masing-masing ditugaskan mengendalikan penerbangan ke Perth. Jadi, episod di sini lebih banyak menceritakan mengenai mereka," katanya.
Bagi Zed Zaidi pula, watak Kapten Iman sangat menarik baginya. Malah, membawa karakter yang kelakar menguji kemahiran lakonannya.
"Terus terang, pasti ramai menganggap watak ini serius kerana status karakter itu. Hakikatnya, Kapten Iman seorang yang kelakar.
"Dalam percubaannya untuk menarik perhatian Dania, pelbagai perkara lucu dilakukannya. Paling menarik, ia bukan watak komedi 'slapstik' tetapi lebih kepada gaya seorang profesional berjenaka," katanya.
Selain itu, Zed Zaidi menambah, Awan Dania musim ketiga turut mencabar kredibilitinya. Bermain dengan cinta segi tiga dan cuba untuk memenangi hati Dania bukan perkara mudah.
"Watak komedi tidak susah. Cuma untuk mengekalkan kesinambungan antara komedi, kerjaya dan cinta tiga segi ini lebih mencabar. Saya perlu menjadi orang yang berbeza dan mempunyai banyak karakter dalam masa sama.
"Alhamdulillah, semuanya dapat dilakukan dengan baik. Saya cuba memberi yang terbaik supaya penonton dapat merasai impak daripada watak Kapten Iman," katanya.
Oleh Firdaus Sahat
0 comments:
Post a Comment
# Please correct lyrics @ comment box if the lyrics are wrong. Thx!